TAZKIYATUN NAFS

Kenapa Harus Sombong?

Isnin, Januari 02, 2017


TEGURAN DAN MENEGUR

Teguran diperlukan untuk membetulkan kesilapan.
Teguran juga perlu untuk menambah baik sesuatu.
Teguran boleh membuatkan kita terinspirasi.
Teguran membuatkan kita mempunyai semangat.
Teguran membuatkan kita semakin kuat.
Teguran membuatkan kita matang.

Tetapi teguran itu mestilah teguran yang berhikmah..
Teguran Yang sentiasa membina.

BUKAN TEGURAN YG MENJATUHKAN.

“Apatah lagi, jika kita tidak berusaha menegur..tetapi bercakap-cakap di belakang sehingga ramai orang yang tahu apa yang tidak kena”

Ada sebuah syair yang dinisbahkan kepada Imam Syafie, syair itu berbunyi:
"Hendaklah engkau sengaja mendatangiku untuk memberi nasihat ketika aku sendirian,
Hindarilah memberikan nasihat kepadaku di tengah khalayak ramai
Kerana sesungguhnya memberi nasihat di hadapan banyak orang
Sama saja dengan memburuk-burukkan, saya tidak suka mendengarnya.
Jika engkau menyalahi saya dan tidak mengikuti ucapanku
Maka janganlah engkau kaget apabila nasihatmu tidak ditaati."

ORANG BERNIAGA

Orang berniaga perlu mempunyai akhlak yang baik. Ego dan sombong diketepikan. Ukhwah dan silaturrahim diutamakan. Orang senang dan suka dengannya..bukan menjauhkan diri dan lari. Senang citer, engagement dengan orang mesti tip top. InsyaAllah pasti bisnes akan mencanak naik, kalau tak pun, redha Allah pasti hadir kerana menyambungkan silaturrahim sesama manusia. Tak gitu?

CETUSAN RASA

Kita Manusia Hebat!!

Ahad, Januari 01, 2017



“Wah..hebatnya dia..macam mana ye nak jadi hebat seperti tu??”..Sebenarnya hebat di mata kita, belum pasti hebat di mata manusia lain, apatah lagi di sisi Allah. HEBAT manusia itu mungkin dinilai dari perspektif berbeza mengikut setiap individu yang banyak dipengaruhi oleh faktor agama, akhlak atau persekitarannya. Ada manusia menilai seseorang individu itu hebat kerana kerjayanya, hartanya, sikapnya, agamanya, ilmunya dan bermacam-macam lagi kriteria.

“Cikgu, kami ni budak Melayu memang lemah Matematik..memang takkan lulus lah..subjek lain boleh lagi. Kalau budak cina tu bolehla..memang dorang pandai Matematik”..kata pelajar saya suatu ketika dahulu.

“Hai..abis tu cikgu ni bukan Melayu?”

“Hehehe”

“Kita pandai bukan sebab bangsa, bukan sebab subjek, bukan pasal apa-apa..semua tu atas sikap kita. Kalau awal-awal kita dah mengalah mengatakan Matematik itu susah, tak minat, budak Melayu memang tak pandai, kat kelas malas nak buat latihan, kat rumah apatah lagi..so hasilnya macam ni lah..”

Pelajar tersebut tersengih-sengih lalu berlalu pergi. Bukan senang nak naikkan semangat pelajar untuk berusaha untuk menjadi yang terbaik. Semua bergantung kepada diri mereka sendiri.

POTENSI DIRI UNTUK MENJADI HEBAT

Dalam mana-mana ceramah motivasi atau keusahawanan, sering diingatkan untuk mencari Big Why. Tanpa Big Why..kita takkan mencapai atau mengubah sesuatu yang besar. Sebenarnya bukan mudah untuk mencari Big Why kita. Hatta jika dalam keadaan terdesak pun, masih ada yang belum jumpa Big Why mereka. Big Why itu kita jumpa apabila kita rasa semangat luar biasa yang tak boleh tidak kita kena buat untuk mencapai tahap itu. Kita sanggup tak tidur, tak makan kerana semangat luar biasa itu.

✓Ada orang Big Why mereka adalah desakan hidup yang susah.

✓Ada pula yang ingin mendapatkan penghargaan dari seseorang.

✓Ada pula yang menjadikan musuh mereka sebagai Big Why untuk berjaya..

Anda pula bagaimana?..

Apapun, semuanya berbalik kepada tujuan hidup kita di muka bumi ini. Jadilah manusia yang hebat di sisi Allah dengan amalanmu. Jadilah juga seseorang yang memberi manfaat dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

Jika kita berada di atas, jangan lupa yang di bawah. Jika kita rasa diri hebat, ada orang lain lagi jauh lebih hebat dari kita. Hidup mesti humble. Contohilah Nabi kita, tidak pernah menceritakan kehebatan diri sendiri walaupun baginda sememangnya seorang yang sangat hebat di sisi manusia dan juga di sisi Allah. 

Sahabat-sahabat yang meriwayatkan kehebatan Baginda itu. Budaya sekarang, kita sibuk acah-acah hebat untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan orang lain. Sedangkan orang lain tak tahu pun sebenarnya kehebatan tu…Renung-renungkan..

i-Think

TIPS Pelaksanaan Kursus iTHINK Dalam Talian (KiDT) 2016

Selasa, Oktober 25, 2016

Sebenarnya, tarikh kursus I-Think ni sehingga hujung tahun 2016. Memandangkan sekarang ni hampir ke hujung tahun, maka saya pasti ramai para guru memasuki fasa kelam-kabut bagi menyiapkan kursus atas talian tersebut. Mujur saya dah siapkan beberapa bulan yang lalu. Jika diikutkan naik muak dan sangat stress untuk menghadapinya kerana sistem yang TAK USER FRIENDLY. Tetapi tugasan perlu dilaksanakan, jika tuan puan mengikuti tips ini, insyaAllah semuanya akan berjalan lancar.

Mula-mula, anda tahu ke alamat URL kursus ini. Hehe..alamatnya ialah http://mygfl.moe.gov.my/ 

Password pula ialah password. (awas anda boleh tukarnya selepas log in nanti)

1.  Masalah paparan yang berputar. Kebanyakan guru merungut tentang sistem tak boleh masuk dan asyik berputar. Jadi mereka pun terus tak buatlah. Jika anda menghadapi masalah paparan yang sentiasa berputar, itu bukan masalah sistem!. Itu adalah masalah instalasi JAVA dan FLASH yang tak serasi dengan sistem MyGfl. Anda perlu ke control panel dan remove semua perisian JAVA dan FLASH yang ada di dalam komputer anda. Kemudian, anda install semula perisian JAVA dan FLASH yang terdapat di halaman hadapan laman web MyGfl. Sebelum dapat paparan di bawah, anda kena register course dulu tau. Saya tak ajar yang tu, sebab tiada masalah yang rumit nak hadapi. Tapi, kalau ada juga boleh tinggalkan komen di bawah ye.


2. Sebelum itu, anda WAJIB mengemaskini maklumat peribadi di bahagian MyPage. Terutama Mel Eletronik anda atau E-MAIL ini kerana sijil akan diemailkan melalui alamat Emel kepada anda setelah melengkapkan kursus ini.


3. Saya mencadangkan anda sebaiknya untuk mengguanakan Bahasa Inggeris kerana ianya lebih stabil dan lebih cepat (percayalah, walaupun anda SANGAT TAK HEBAT dalam bahasa Inggeris, macam saya) kursus ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar. Ini kerana ada beberapa soalan yang diterjemah ke dalam Bahasa Melayu, namun ianya tidak mencapai kriteria yang ditetapkan. (macam translate menggunakan google translator la)


4. Masalah tidak beranjak ke Modul seterusnya. Masalah ini berlaku kerana anda tidak berhenti dengan cara yang betul. Masalah ini lah yang selalu bikin cikgu jadi SANGAT STRESS dan rasa hendak menghempaskan computer dengan kadar 100Km/j kerana apabila anda telah menyelesaikan beberapa modul ini lebih kurang berjam-jam lamanya, data yang telah anda buat tidak akan disimpan, maka oleh hal yang demikian anda dipaksa dan terpaksa mengulang modul yang sama sekali lagi. GILA TAK???

OK, macam ni, apabila anda sudah menyelesaikan sesuatu modul dan ingin berhenti untuk berehat, bosan, makan dan sebagainya anda JANGAN TERUS TEKAN BUTANG QUIT, apa dia?.
JANGAN TERUS TEKAN BUTANG QUIT

Tetapi, anda harus pergi ke Modul seterusnya (frame Learning Outcome). Selesaikan introduction je kemudian BARU BOLEH TEKAN BUTANG QUIT. Jadi, Modul yang telah anda selesaikan sebelumnya insyaAllah takkan hilang di dunia.


Nampak tak, setiap Modul mesti ada frame learning outcame semasa permulaannya kan. So, kalau anda dah siap sampai frame Integrate atas sekali tu, jangan terus quit walaupun anda nak terbe**k. Klik terus Modul seterusnya dan siapkan nombor 1 pada frame learning outcome tu. InsyaAllah Modul sebelumnya takkan hilang.

5. Jangan tertipu dengan paparan di sebelah kiri anda (seperti dalam rajah) di bawah.
Setiap kali anda nak sambung kursus anda, anda MESTI KLIK YES apabila ditanya “ADAKAH ANDA INGIN MENYAMBUNG DARI PAPARAN SEBELUM INI?”. TOLONGLAH PERCAYA pada skrin anda sekarang walaupun menu di sebelah kiri anda menunjukkan anda belum menyiapkan Modul sebelumnya.


Saya sampai nak nangis bila saya tengok menu pada sebelah kiri tu dia tak tick (menandakan modul itu telah selesai) padahal masa tu saya tengah siapkan modul yang di bawahnya. Pelik kan??? Sangat pelik!!. Modul yang sebelumnya dia tak rekod pun kita dah selesai. RELEKS, Keep Calm N Smile, jangan nangis dulu. Senang citer, abaikan aje menu di sebelah tu. Percaya pada frame yang sedang anda buat sekarang.

Tadaa..siap lah tak sampai 24 jam pun. Tapi tu kalo tak tidur, tak makan, tak solat (haha..mana boleh tak solat) dosa tau..Ok lah..kalau ada yang tanya lagi pasal i-think sementara due date semakin hampir..boleh tinggalkan komen atau pm saya di Facebook Durratul Khair

MUHASABAH

:-Erti Bahagia?-:

Isnin, Januari 23, 2012

ketika semua manusia sibuk mencari "bahagia', kita terlupa bahawa bahagia sebenarnya ialah apabila kita hidup dalam keadaan beriman kepada ALLAH.. bahawa kita menikmati dengan hati lapang setiap anugerahNYA, kita redha dengan Qada dan QadharNYA, kita patuh kepada ajaranNYA dan kita jahui segala laranganNYA, kita bermunajat bila mengingini sesuatu, kita bertaubat bila melakukan dosa, kita bersyukur ketika senang dan kita sabar ketika menghadapi ujian serta kita bertenang jika ada yang mencela dan kita berterima kasih jika ada yang memuji.

bahawa kita tidak pernah sebatangkara, walau tiada sesiapa lagi yang menyayangi kita didunia ini, kerana ALLAH itu lebih dekat kepada kamu dari urat leher kamu sendiri.. bahawa pabila kita berkeluh kesah, sesungguhnya ALLAH menanti kita merayu dan memohon kerana terpesona dengan ungkapan-ungkapan indah kita kepada NYA, bahawa jika kamu menderita... ALLAH akan memelukmu dengan RahmatNYA, pabila kamu kecewa...ALLAH sentiasa ada disisimu dengan KasihNYA, malah apabila dosa dosa mu sebesar gunung uhud.. ALLAH tetap memberi keampunanNYA kerana dialah MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG...

TUHANKU... kami tidak layak untuk Syurgamu...
Namun kami tidak mampu menghadapi azab di neraka MU...
aku bermohon kepada MU... ampunilah dosa-dosa kami..
sesungguhnya ENGKAUlah ALLAH yang
MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG,MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENERIMA TAUBAT HAMBA-HAMBANYA....

:-TANPA TAJUK-:

Rabu, Mac 02, 2011

Assalamualaikum dan Salam Rindu buat semua pembaca blog..Rasa lama sangat-sangat saya tak menulis dan tak update blog saya yang dah banyak bertukar wajah. Ramai yang tanya mengapa?..Saya tiada jawapan yang khusus kerana setiap orang menulis atas sebab yang berbeza-beza. Saya sebenarnya masih mencari sebutir cahaya yang saya rasa sudah lama hilang. Cahaya yang bisa membuat saya bangkit, cahaya yang bisa membuat saya ceria dan cahaya itulah yang bisa membuat kehidupan saya kembali bermakna.Namun, benar kata orang, jika cahaya itu tidak muncul, mengapa kita tidak teruskan sahaja kehidupan kita seperti biasa?..

Pagi tadi sekolah saya diserang oleh seorang bapa yang tidak puas hati dengan tindakan disiplin yang dikenakan kepada anaknya. Habis sumpah seranah. caci maki dilemparkan kepada guru-guru mahupun kepada semua benda yang ada di sekitarnya (maksudnya membebel sambil mengeluarkan kata-kata yang kesat). Kata teman, patutlah anak-anak di sini payah dibentuk, maybe didikan di rumah membuatkan hatinya 'terdidik' untuk menjadi keras. Wallahua'lam. Selidikilah perkataan kita, adakah bisa membuat orang lain terasa atau tidak. Jagalah ucapan kita agar anak kita tidak mewarisi kekasaran kita. Ada orang, tahan lasak dengan caci maki, mahupun kata-kata yang kasar. Bagi mereka, tiada apa yang perlu dikisahkan. Apa pendapat pembaca?..Bagi saya, walau siapa pun kita, kita kembali kepada akhlak Rasulullah SAW. Mmg ada org tak kisah bercakap kasar, tapi ada yang kisah termasuk saya. Tapi, semua org suka jika kita bercakap lembut. So, buat apa pilih yang berisiko?.

Bercakap soal akhlak, sudah pastilah Rasulullah SAW adalah tauladan yang paling baik. Kita manusia biasa sebenarnya mampu meniru akhlak Rasulullah jika kita membuang sikap ego dan tinggi diri kita pada setiap perkara. Tertarik dengan tulisan di sini yang bagi saya perlu dibaca oleh semua yang bergelar pemimpin keluarga.

Saya tidak pasti, adakah saya menyampaikan sesuatu yang baik kepada pembaca. Penulisan yang saya kira tiada isi yang ilmiah. Sekadar coretan untuk mengubat hati dan jiwa yang sakit dan sekian lama merindukan cahaya itu!. Sekian

:- Jalan Itu Susah Tetapi Indah -:

Selasa, November 17, 2009

Salam kerinduan dan salam kasih sayang buat semua..Terlalu lama rasanya blog ini tiada posting terbaru. Bak kata seorang teman, “bukan sahaja dah bersawang-sawang, malah takleh nak bersihkan lg sawang kat blog Durrah ni sbb byk sgt”. Maafkan saya atas kelemahan ini…Saya menulis dari hati, bila hati tidak tenteram dan bila hati terasa sgt kotor dan jauh dari ALLAH, terasa pula diri ini tidak layak untuk menyampaikan sesuatu. Walaupun kaedahnya bukan begitu kerana kita selamanya tidak akan sempurna, namun natijah daripada dosa yang dilakukan dan hati yang kotor akan memberi impak negative yang cukup besar dalam diri kita. Ya Allah, moga hati yang berdosa ini tidak terus mati dari rahmat dan redhaMU Ya Rabbi. Setiap saat sy merasakan diri ini semakin hina dan semakin alpa. Sampai bilakah keresahan dan kerinduan dalam pencarian ini akan berakhir. Sesungguhnya sy amat takut diri ini semakin jauh dariMu saat ujian datang bertalu-talu.

Membelek Anis keluaran Disember 2008, saya tertarik dengan tulisan Ust Pahrol Mohd Juoi berkenaan dgn tajuk ini. Mungkin saya tak mampu memberikan sesuatu dari hati, tapi artikel yang menyentuh hati saya itu saya harapkan dapat juga memberikan sesuatu kepada anda.

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapakan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu.. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunan-Nya..kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah al-Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali”

“ Carilah hatimu di tiga tempat…Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”

Semak-semak kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu..Telah kau bukakah setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telah kau ucapkah, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munjat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh kerenah-kerenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera al-Quran dan bacalah. Bacalah..itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan beteri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna…Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun seklaipun jasad luaran, tanpa al-Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibukan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang sentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah takwa. Sebaik-baik perlindungan adalah al-Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.

Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insane bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah SAW yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibukan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujahadah…tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al-Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Ya ALLAH..tabahkanlah hatiku supaya tidak mengutamakan perasaanku berbanding agamaku. Berikan daku kekuatan yang luar biasa yaRABBI. Kuatkan agamaku walau hatiku hancur berkecai, sesungguhnya aku sangat terhiris kiranya agamaku tidak bertambah malah semakin hari semakin parah
.

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images