:- Jalan Itu Susah Tetapi Indah -:

Selasa, November 17, 2009

Salam kerinduan dan salam kasih sayang buat semua..Terlalu lama rasanya blog ini tiada posting terbaru. Bak kata seorang teman, “bukan sahaja dah bersawang-sawang, malah takleh nak bersihkan lg sawang kat blog Durrah ni sbb byk sgt”. Maafkan saya atas kelemahan ini…Saya menulis dari hati, bila hati tidak tenteram dan bila hati terasa sgt kotor dan jauh dari ALLAH, terasa pula diri ini tidak layak untuk menyampaikan sesuatu. Walaupun kaedahnya bukan begitu kerana kita selamanya tidak akan sempurna, namun natijah daripada dosa yang dilakukan dan hati yang kotor akan memberi impak negative yang cukup besar dalam diri kita. Ya Allah, moga hati yang berdosa ini tidak terus mati dari rahmat dan redhaMU Ya Rabbi. Setiap saat sy merasakan diri ini semakin hina dan semakin alpa. Sampai bilakah keresahan dan kerinduan dalam pencarian ini akan berakhir. Sesungguhnya sy amat takut diri ini semakin jauh dariMu saat ujian datang bertalu-talu.

Membelek Anis keluaran Disember 2008, saya tertarik dengan tulisan Ust Pahrol Mohd Juoi berkenaan dgn tajuk ini. Mungkin saya tak mampu memberikan sesuatu dari hati, tapi artikel yang menyentuh hati saya itu saya harapkan dapat juga memberikan sesuatu kepada anda.

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapakan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu.. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunan-Nya..kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah al-Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali”

“ Carilah hatimu di tiga tempat…Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati”

Semak-semak kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu..Telah kau bukakah setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telah kau ucapkah, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munjat itu.

Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh kerenah-kerenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera al-Quran dan bacalah. Bacalah..itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan beteri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna…Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun seklaipun jasad luaran, tanpa al-Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibukan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang sentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah takwa. Sebaik-baik perlindungan adalah al-Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.

Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insane bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah SAW yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibukan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujahadah…tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al-Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Ya ALLAH..tabahkanlah hatiku supaya tidak mengutamakan perasaanku berbanding agamaku. Berikan daku kekuatan yang luar biasa yaRABBI. Kuatkan agamaku walau hatiku hancur berkecai, sesungguhnya aku sangat terhiris kiranya agamaku tidak bertambah malah semakin hari semakin parah
.

You Might Also Like

0 ulasan

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images